BETAPA Kerapnya Malaikat Maut Melihat Kita

Dicatat oleh niza22

BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali... Andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail.

Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :
Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.

Meski pun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.

Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabie biasa sebagai pendapat golongan athies, dan tidak kurang pula yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang zahir sahaja. Dia mengambil logik, bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebakaran dan juga kemalangan samada diudara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya.

Selain itu, mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, taun dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang tersebut di atas. Jika berlaku kematian dikalangan mereka, lantas mereka bertanya, sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah? .

Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak akan tertangguh walau sesaat.

Walau bagaimana pun, ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi satu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingati mati, untuk itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi orang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang-orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa berwaspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna.

Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan meraka, jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak memberi amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika ada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan terjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu, Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusiaƂ yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah SWT iaitu para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang solihin.

Selain itu juga, malaikat maut mengadu kepada tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam a.s, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai-bagai sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam a.s sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlakunya kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana mengidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.

Ketika itu, Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.

Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya.


Walau bagaimana pun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu samada bersebab ataupun tidak, sebagai mana yang dinyatakan pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya malaikat maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut berasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal samada seseorang yang sedang sakit atau pun ketika sihat dan segar-bugar.

Firman Allah Taala yang bermaksud :
Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya.
( Surah Al-Araf ayat 34 )

HIKMAH DI SEBALIK 7 AYAT DALAM AL FATEHAH

Dicatat oleh niza22

Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat, tujuh ayat dalam Al Fatehah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan 'mim' dan ada ayat yang akhirnya dengan 'nun'. Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya dipasang-pasangkan.

Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan Tuhan. Antaranya ialah:

1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu

Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak. Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.

2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan

Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan.

Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:

a. Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada bermacam-macam jenis.
b. Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang.
c. Kedua-dua lutut
d. Kedua-dua tapak kaki

Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota penting tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita menyebut, "Hidupku dan matiku adalah untuk Allah." Ertinya semua anggota yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan.

3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga

Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti sama ada Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh intipati Al Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat salah satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh peringkat Neraka.

4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi
Di langit ada macam-macam makhluk Tuhan yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.

Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat.

Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu.
Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh kesan.

Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.

Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah di dalam Al Quran:
Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, 'Diamlah kamu (untuk mendengarkannya) .' Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan." (Al Ahqaf: 29)

Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu terlanggar anak kita maka akan timbul masalah.

5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat.
Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh itu. Makin kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu:
i. Nafsu ammarah
ii. Nafsu lawwamah
iii. Nafsu mulhamah
iv. Nafsu mutmainnah
v. Nafsu radhiah
vi. Nafsu mardhiah
vii. Nafsu kamilah

Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri dari tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada tujuh. Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini dihayati, nafsu boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatehah atau isi Al Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah. Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang.

Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.

Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak beralih dari satu tahap ke satu tahap. Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk kepada Al Quran.

Ayat Al Quran itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau kita boleh kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ketujuh, yang mana nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh melakukannya hingga mereka sampai peringkat ketujuh itu.

Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah itu. Allah SWT menetapkan kekuatan tujuh ayat Al Fatehah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama. Namun kita seperti diberi amaran bahawa kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan Al Fatehah itu untuk memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan setakat mulhamah atau paling tinggi mutmainnah.

Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh ayat yang dengan kekuatannya mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh wujudkannya dan Allah berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh jenis. Namun orang rohani yang diberi ilham oleh Allah boleh melihat kekuatan Al Fatehah ini yang dirangkum dalam tujuh ayat. Rupanya walaupun ilmunya ilham tetapi ia bersifat falsafah. Iaitu melihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk mengendalikan tujuh peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan. Seseorang yang dhaif dalam mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan tujuh tahap nafsu itu.

Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Fatehah padahal baru memperkatakan kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di pintu Fatehah, belum masuk ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya. Oleh sebab itulah saya lebih suka mengatakan Al Fatehah itu 'Surah Yang Dapat Kemenangan' daripada menamakan ia 'Surah Pembukaan'.

Kalau ulama masyhurkan Al Fatehah itu sebagai Surah Pembukaan kerana ia diletak di depan Al Quran, itu tidak salah tetapi bagi saya elok dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Ini kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan sendiri dalam menamakan surah ini menggunakan isim fi'il - 'yang telah mendapat kemenangan'. Lebih baik makna ini kita masyhurkan kerana Surah Fatehah itu menentukan seseorang itu mendapat kemenangan atau tidak sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Agar dengan itu hidup ini dipandang berat dan tidak disia-siakan. Jangan dianggap semuanya kebetulan. Ia ada hubung kaitnya dengan hidup kita.

Kepentingan Ikhlas di dalam Amalan

Dicatat oleh niza22

Para ulama Rabbani yg terdiri daripada mereka yg aktif dalam pendidikan rohani dan yang berjalan kepada Allah tlh bersetuju, bahawa kepentingan ikhlas bg setiap amal utk bekalan akhirat dan bg setiap org yg meniti jln menuju Allah.

Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata di dlm Muqaddimah kitab An-Niyyah Wal-Ikhlas Qash-Shidq, yg memakan seperempat bahagian dr kitab Al-Ihya' :

"Dgn hujjah iman yg nyata dan cahaya al-Quran, mereka yg mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tdk akan tercapai kecuali dgn ilmu dan ibadah. Semua org pasti akan binasa kecuali mereka yg berilmu. Mereka yg berilmu pasti akan binasa kecuali yg aktif beramal. Semua org yg aktif beramal akan binasa kecuali mereka yg ikhlas."

Jadi sebutan mereka yg ikhlas amat rentan. Amal tanpa niat adalah ketololan, niat tanpa ikhlas adalah riya', yg bererti sama dgn kemunafikan dan tdk berbeza dgn kederhakaan. Ikhlas tanpa kejujuran dan perlaksanaan adalah sia-sia.

Allah tlh berfirman ttg setiap amal yg dimaksudkan utk selain Allah, sbg suatu yg tdk bermatlamat. Di dlm al-Quran Allah tlh berfirman yg bermaksud :

"Dan Kami hadapi segala amal yg mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yg berterbangan." (al-Furqan: 23)

Perkara yg serupa dgn apa yg dikatakan oleh al-Imam al-Ghazali itu sblmnya juga tlh dikatakan oleh seorang Rabbani yg arif bernama Sahl bin Abdullah at-Tustary, "Semua manusia spt org yg sdg mabuk kecuali mereka yg berilmu. Semua org yg berilmu adalah org yg bingung kecuali mereka yg mengamalkan ilmunya."

Dlm lafaz lain beliau berkata, "Dunia ini adalah kebodohan dan kematian kecuali ilmu. Semua ilmu merupakan hujjah ke atas pemiliknya kecuali yg diamalkannnya. Semua amal akan sia-sia kecuali yg dilaksanakan dgn ikhlas. Ikhlas itu dlm bahaya yg besar sehingga tetap berakhir dgnnya."

Sebahagian yg lain juga berkata, "Ilmu itu laksana benih, amal laksana tanaman dan airnya adalah ikhlas."

Ibn 'Atha'illah berkata dlm Al-Hikam, "Sesungguhnya Allah tdk menyukai amal yg mendua (berbelah bahagi), dan tdk pula hati yg mendua. Amal yg mendua tdk diterima dan hati yg mendua juga tdk akan diterima."

Amal yg tdk disertai ikhlas adalah ibarat gambar yg mati, dan raga tanpa jiwa. Allah hanya menginginkan hakikat amal, bkn rupa dan bentuknya. Maka dr itu Dia menolak setiap amal yg pelakunya tertipu dgn amalnya.

Dlm hadith shahih riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda :

"Sesungguhnya Allah tdk melihat kpd jasad dan rupa kamu, tetapi Dia melihat kpd hati kamu." Baginda memberi isyarat ke arah hati dgn jari-jari tangannya lalu berkata, "Taqwa itu letaknya di sini." Dan Baginda memberi isyarat ke arah dadanya sebanyak tiga kali." (HR Imam Muslim)

Allah berfirman ttg mereka yg menyembelih haiwan qurban, iaitu yg dilakukan oleh mereka yg menunaikan haji dan umrah :

"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tdk dpt mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan drp kamulah yg dpt mencapainya." (al-Hajj: 37)

Allahu a'lam..


Fit-Thariq Ilallah: An-Niyyah Wal-Ikhlas, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi

Yang Hidup Dan Yang Mati

Dicatat oleh niza22

Dari Abu Musa RA, Rasulullah SAW bersabda, “ Perumpamaan orang yang berzikir dengan yang tidak berzikir, seperti orang yang hidup dan orang yang mati.” (HR Bukhari fi ad-Da’awat, 11/208).

Hidup dan mati. Demikianlah ilustrasi yang diungkapkan Rasulullah SAW bagi menggambarkan orang yang berzikir dan yang tidak. Apakah dimensi, fungsi, serta kedudukan zikir sehingga orang yang melakukannya di ibaratkan seperti yang hidup manakala yang tidak melakukannya digelar sebagai mati?

Fungsi dan kedudukan zikir bagi hati setara dengan fungsi makanan bagi tubuh. Seseorang yang tidak memenuhi keperluan ruang hati dan rohnya dengan zikir, samalah umpama tubuh yang tidak diberi bekalan makanan sebagai sumber kekuatan. Tubuh yang tidak memperolehi makanan akan menjadi lemah, tidak berdaya dan mudah diserang penyakit. Bila keadaan ini berterusan ia boleh menyebabkan kebuluran dan padahnya adalah membawa kepada maut.
Demikian juga dengan hati yang kosong dari zikrullah. Semakin hari ia semakin lemah apabila bekalan makanan tidak diperolehi. Ia akan mudah terumbang-ambing, goyah dan resah. Hati menjadi mudah dikuasai hawa nafsu yang dikendalikan syaitan disebabkan tiada daya ketahanan. Akhirnya apabila keadaan ini berterusan sebagaimana yang menimpa tubuh , hati juga menemui nasib yang sama iaitu mati.

Hati yang mati adalah hati yang tidak dapat menjalankan apa-apa fungsi. Manusia yang memiliki hati yang sakit atau mati, adalah manusia yang hidup tanpa nilai, tanpa pengemudi. Neraca penentuan sikapnya hanya ditentukan oleh kehendak hawa nafsu. Keadaan mereka ini lebih dahsyat jika dibandingkan dengan orang yang mati fizikalnya. Manusia yang mati secara fizikal tidak membawa kemudharatan kepada manusia disekelilingnya namun mereka yang mati hatinya akan merugikan malah memudharatkan orang lain. Orang yang mati hatinya, akan bertindak dalam konteks memenuhi kehendak hawa nafsu serta kesenangan peribadi. Ini sudah tentu menjerumuskan diri sendiri ke lembah kehancuran serta menyeret sama manusia lain. Oleh itu tepat sekali perumpamaan Rasulullah di atas; hidup dan mati.

Zikir sebagai ubat

Mirip dengan perumpamaan dalam hadis di atas adalah ungkapan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah yang pernah menyatakan, “Zikrullah bagi hati, seperti air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan bila keluar dari air?” Manakala Imam Hasan al Basri, ulamak terkemuka pada zaman tabi’in, juga pernah menjawab keluhan seorang pemuda tentang kekesatan hatinya. Beliau mengatakan, “Ubati hatimu dengan zikir.”

Hati yang rutin diisi dengan zikir kepada Allah, akan menjadi kuat, teguh, istiqamah, mampu mematahkan serangan dan pengaruh hawa nafsu yang dikendalikan oleh syaitan. Malah yang lebih penting hati ini akan dekat kepada Allah, terhindar dari rasa keluh kesah dan gelisah. Hati dan wajahnya pula memancarkan sinar, selalu optimis, sukacita dan gembira.

Zikrullah (ingat kepada Allah) bukan sekadar kita mengingati Allah malah secara timbal balik akan menjadikan Allah ingat kepada orang yang melakukannya. Sebagaimana Allah SWT berfirman, “Berzikirlah kamu kepada Ku, nescaya Aku ingat kepadamu.” (QS al Baqarah:152)

Sederhana dan mudah

Zikrullah begitu sederhana dan mudah dilaksanakan. Namun , ganjaran yang diperolehi dapat melebihi ganjaran ibadah lain. Dalam sebuah hadis hasan sahih riwayat Tarmidzi, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang mengatakan subhanallah wa bihamdihi, akan ditanamkan untuknya pohon kurma di syurga.”

Seorang pemuda bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, sesungguhnya pintu-pintu kebaikan itu banyak, tapi aku tak mampu melakukan seluruhnya. Beritahukanlah kepadaku nasihat apa saja yang dapat aku pegang teguh, nasihat yang singkat sehingga aku tidak mudah melupakannya.” Rasul menjawab, “Basahilah lidahmu selalu dengan zikrullah.” (Hadis hasan gharib riwayat Turmudzi, 9/314, disahihkan oleh Az Zahabi).

Itulah zikrullah begitu mudah untuk dilaksanakan. Namun berapa ramai umat Islam yang membasahi lidahnya dengan zikrullah ? Amat rugilah kita apabila lidah kita hanya dibasahi dengan lagu-lagu dan irama merdu yang mengasyikkan dan bukan zikrullah.

Paling utama

Zikrullah banyak ragamnya. Boleh dilakukan dengan menyebut asma’ Allah (nama-nama Allah), sifat dan memuji Nya seperti ucapan subhanallah, alhamdulillah, laa ilaaha illa llah, dan zikir-zikir lain yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Juga boleh dilakukan dengan berdakwah di jalan Allah, menyeru dan menyampaikan kepada manusia tentang sifat-sifat Allah, hak Allah, perintah dan larangan Allah, kewajipan hamba kepada Nya dan sebagainya. (Tazkiyatun Nufus wa Tarbiyatuha, Ahmad Farid). Yang paling utama, disamping bentuk-bentuk zikir tersebut adalah tilawatul Qur’an (membaca al-Qur’an).

Bila aktiviti zikrullah terhadap hati dikategorikan sebagai makanan bagi tubuh, maka tilawatul Qur’an merupakan makanan paling berkhasiat bagi hati. Khabab bin Art RA pernah berwasiat kepada seseorang, “Hampirkanlah diri anda kepada Allah mengikut batas kemampuanmu. Dan ketahuilah bahawa anda tak mungkin mendekati Allah dengan sesuatu yang lebih Dia cintai daripada firman Nya.”

Tilawah al Qur’an merupakan bentuk zikir yang paling utama. Maka al Qur’an merupakan sumber penawar dan ubat dari berbagai penyakit hati. Ini bertepatan dengan janji Allah SWT seperti firman Nya, “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (QS Yunus:57).

Dalam ayat lain pula, “Dan Kami turunkan dari al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (QS al Isra’:82).

Inti keresahan

Al Qur’an merupakan penawar dan penjelas. Penawar atau ubat bagi penyakit syahwat, dan segala sesuatu yang syubhat (meragukan). Penjelas bagi maklumat di atas segala perkara yang haq dan batil. Keduanya dapat membentuk kebersihan hati, sekaligus kejernihan persepsi. Dengan hati yang bersih dan pandangan yang lurus, hidup seseorang menjadi tenang dan istiqamah. Tanpa zikrullah, hati menjadi kotor, dan persepsi tentang berbagai perkara menjadi kabur dan samar malah sentiasa keliru. Inilah yang menjadi inti keresahan, kegelisahan dan was-was.

“Ketahuilah, bahawa dengan zikrullah hati menjadi tenang.” (QS ar Ra’du:...

Kesenangan, Musibah Sebagai Cubaan Untuk Menilai Kekuatan Iman Umat Islam

Dicatat oleh niza22

SESEORANG yang ingin mengenalpasti sesuatu perkara atau benda, sama ada asli atau palsu, maka wajarlah terlebih dulu mengujinya dengan kaedah tertentu. Begitulah keadaannya keimanan yang terselit di dada seseorang, perlu sekali melalui proses ujian atau cubaan Allah untuk menilai sama ada teguh atau rapuh.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah.” (Hadis riwayat Thobrani)

Allah berfirman yang bermaksud:
“Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?” (Surah al-Ankabut, ayat 2)
Sebagai seorang yang beriman, kita hendaklah yakin bahawa segala kesusahan atau pun kesenangan yang Allah berikan semuanya adalah ujian terhadap hamba-Nya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan aku jadikan bagi kamu sekalian keburukan dan kebaikan sebagai fitnah (ujian) dan kepada Aku-lah kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Anbia’, ayat 35)
Kita percaya masih ada segelintir di kalangan masyarakat Islam yang beranggapan seperti memiliki harta kekayaan yang banyak, rezeki melimpah ruah, berpangkat tinggi dan sebagainya adalah satu petanda Allah sayangkannya.
Anggapan mereka sebenarnya meleset sama sekali. Mereka belum cukup faham atau masih keliru mengenai konsep ujian Allah. Apa yang mereka miliki itu sesungguhnya adalah ujian untuk menilai sama ada ia tergolong dalam golongan orang bersyukur atau kufur.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian bahawa sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)
Umat Islam tatkala menerima kebaikan dari Allah pasti akan melahirkan rasa kesyukuran, seperti Nabi Sulaiman ketika menerima penyerahan singgahsana kerajaan Saba’ dari puteri Balqis, lalu Baginda mengucapkan: “Inilah sebahagian dari kurnia Tuhanku, sebagai ujian-Nya kepadaku, apakah aku bersyukur atau bersikap kufur.’ (Surah An-Naml, ayat 40)
Selain itu, Allah juga menguji manusia dalam bentuk kesusahan seperti sakit, miskin, gagal mencapai matlamat, kerugian dalam perniagaan, kebakaran dan lain-lain.
Allah memaparkan beberapa contoh ujian Allah dalam bentuk kesusahan seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami akan memberikan sesuatu percubaan kepada kamu, seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan…” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Berpandukan ayat itu dapat dirumuskan bentuk ujian Allah iaitu ketakutan untuk menghadapi musuh Islam dan menghadapi hari mendatang.
Kelaparan, kerana ketiadaan makanan atau mungkin juga tidak mampu untuk mendapatkan makanan akibat harganya terlalu mahal, tanam-tanaman tidak menjadi disebabkan musim kemarau atau bencana alam lain.

Kekurangan harta disebabkan ditimpa musibah seperti kebakaran, banjir besar dan taufan yang dahsyat serta hilang orang kesayangan disebabkan peperangan, bencana alam, serangan wabak penyakit dan kemalangan jalan raya.
Ternyata suasana yang sedang berlaku dalam negara kita sekarang adalah satu ujian Allah. Namun hakikat yang pahit ini, masih ramai yang tidak sanggup untuk menelannya. Jika kefahaman kita sudah mendalam mengenai konsep cubaan Allah, dan memiliki iman yang utuh, sudah tentu hal ini dapat dihadapi dengan lapang dada, fikiran waras dan emosi terkawal.

Peranan kesabaran seseorang sangat penting dalam menghadapi situasi buruk yang memang tidak disukai ini. Sama-sama berbincang mencari jalan bagaimana untuk berdepan dengan keadaan ini seterusnya cara mengatasinya.
Jika masing-masing saling menuding jari, maka masalah tidak akan selesai, bahkan akan menambahkan lagi kekusutan yang ada. Akhirnya boleh menimbulkan persengketaan dan perpecahan dalam masyarakat yang tidak ada titik kesudahan.
Islam sudah menunjukkan jalan terbaik bagi menghadapi ujian Allah seperti bersabar seperti pesan junjungan besar Nabi SAW yang sewajarnya diikuti dan diamalkan oleh setiap orang beriman.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)
Di samping itu orang Islam juga harus bertawakal kepada Allah tatkala menghadapi ujian Allah. Bertawakal bermakna berusaha dengan segala upaya untuk mengatasinya kemudian menyerahkannya kepada Allah yang menentukan.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sepenuhnya urusanku ini, kuserah pasrahkan bulat-bulat kepada Allah, sebab Ia Maha memperhatikan semua urusan hamba-Nya.” (Surah al-Mukmin, ayat 44)
Cubaan yang dihadapi Nabi Ya’kub kerana kehilangan Nabi Yusuf atas perbuatan busuk saudaranya, baginda bertawakal kepada Allah dengan penuh kehambaan sebagaimana tergambar dalam sepotong ayat yang bermaksud:
“Ia berkata: Hanya kepada Allah kesusahan, keresahan dan keperihanku ini aku adukan.” (Surah Yusuf, ayat 86)

Setiap orang Islam hendaklah sentiasa berikhtiar dengan penuh hikmah, mengikut syariat Islam, untuk mengatasi ujian yang menimpa dan supaya tidak berulang lagi pada masa depan. Elakkan daripada perasaan sedih, mengeluh, putus asa atau kecewa ketika berdepan dengan ujian Allah, sehingga sanggup menyalahkan takdir.
Seharusnya banyak bersabar dan mendekatkan diri kepada Allah, itulah penolong yang sejati seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)
Kita juga perlu insaf bahawa apapun ujian atau cubaan, semuanya menunjukkan bahawa Allah memelihara hamba-Nya supaya ingat selalu kepada-Nya. Seterusnya bagi orang kuat imannya, ia sangat berbahagia apabila berdepan dengan cubaan Allah kerana itu satu cara Allah menghapuskan dosa seseorang itu, jika dihadapinya ujian dengan kesabaran tinggi dan penuh keimanan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Beginilah Allah memilih hamba-Nya untuk menghuni syurga-Nya di akhirat nanti, dengan memberi ujian sama ada kecil atau besar. Hanya orang yang kuat imannya saja yang layak mendapat kesejahteraan yang abadi.

Firman Allah yang bermaksud:
“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dapat masuk ke dalam syurga, padahal belum kamu mengalami duka derita yang pernah dialami dan menimpa orang terdahulu sebelum kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Apabila seseorang sanggup menghadapi ujian Allah dengan tabah, sudah tentu imannya bertambah kuat dan mantap, sering bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan demi mencapai insan dikasihi Allah.